Monday, December 29, 2008

SELAMAT MENYAMBUT ' MA'AL HIJRAH 1430 H'

Alhamdulillah akhirnya kita dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk sama-sama menyambut tahun baru Islam 1430 H. Kita bersyukur kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Beberapa detik sebelum masuk waktu Maghrib, 30 Zulhijjah 1429 H , kita disunatkan untuk membaca Doa Akhir Tahun , antaranya memohon keampunan daripada Allah swtr atas sega ketelanjuran dosa yang telah dilakukan namun masih diberi kekuatan untuk meneruskan hidup didunia ini. Selepas Solat Maghrib, 1 Muharram 1430 H, kita pula di sunatkan untuk membaca Doa Awal Tahun bagi menzahirkan betapa kerdilnya kita dihadapan Allah swt untuk terus diberi kekuatan untuk mengharungi hidup ini. Kita juga berdoa semoga dijauhkan segala bahaya bencana dan malapetaka yang boleh menimpa kita sepanjang setahun yang akan datang.

Saya menghadiri program Majlis Kesyukuran dan Sambutan Tahun Baru Hijrah 1429/1430 H di Masjid Sultan Ahmad 1 (Masjid Negeri) bersama-sama dengan YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Adnan Bin Hj Yaakob dan rakyat jelata . Ramai yang hadir, penuh saf-saf dalam masjid, lelaki dan perempuan . Nampaknya masyarakat dan penduduk negeri Pahang amat prihatin, syukur kepada Allah swt. Majlis yang sama telah dilaksanakan diseluruh masjid dan surau dalam Negeri Pahang. Para jemaah juga menunaikan Solat Hajat sebagaimana yang dititahkan oleh KDYMM Tuanku Sultan Pahang yang juga sebagai payung Agama Islam Negeri, memohon kehadrat Ilahi supaya Negeri Pahang dijauhkan daripada bala bencana dan malapetakan dan semoga seluruh rakyat berada didalam keadaan sejahtera hendaknya. Begitu prihatin KDYMM Tuanku Sultan Pahang. Semoga Allah swt terus merahmati hari-hari pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Pahang.

Umat Islam sekali lagi diminta untuk merenung nasib dan halatuju mereka masa hadapan sempena denga kehadiran bulan Muharram 1430 H kali ini. Jika diamati nasib umat Islam di peringkat global, menuntut untuk seluruh umat Islam memikirkan nasib saudara mara mereka yang berada nun jauh di seluruh dunia. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh mereka. Ditindas dan dibunuh malah banyak yang hidup dalam kesusahan dan serba kedhaifan. Agama Islam semakin menghadapi dugaan yang kuat. Hanya umat Islam sahaja yang dapat memastikan supaya Agama Islam ini terus gemilang .

Tema Ma'al Hijrah tahun ini, "Menjana Ummah Gemilang" seharusnya lebih menyedarkan umat Islam di Malaysia untuk sama-sama berjuang menjadikan Agama Islam sebagai agama yang menggalakkan umatnya untuk terus cemerlang pada setiap masa. Cemerlang yang dituntut ialah dalam segenap lapangan hidup dan bidang. Inilah sebahagian besar intipati di sebalik Hijrah yang pernah berlaku 1430 tahun yang lalu. Umat Islam perlu mengeluarkan diri mereka daripad kedhaifan hidup dan melawan serangan dan dugaan untuk terus menjadi umat yang gemilang dan dihormati oleh kawan dan lawan. Alhamdulillah Rasulullah saw telah meninggalkan kepada kita banyak petunjuk untuk terus kita perjuangkan pada masa ini dan akan datang. Semoga Sirah Rasulullah saw dan para sahabat Baginda- ra- akan terus menjadi panduan kepada kita semua . Inilah yang perlu kita hadhamkan dalam pemikiran kita sebaik-baiknya. Mengkaji dimana kelemahan kita semua dan terus memperbaiki dan berhijrah untuk terus mencapai kegemilangan. Dimana berlaku kesilapan haruslah diperbetulkan malah perlu dicari nilai tambah untuk memastikan Agama Islam terus berada dipuncak yang cukup tinggi dan mulia.

Sehubungan dengan itu, Umat Islam perlu menggalas cabaran ini untuk kesinambungan kecemerlangan lalu. Kita harus bekerja kuat untuk mencapai cita-cita tersebut.

Semoga tahun-tahun yang mendatang akan menjanjikan cahaya kegemilangan untuk kita semua meneruskan perjuangan hidup dan da'wah islamiah kita .

Dikesempatan ini saya juga ingin menyampaikan Sembah Takziah kepada seluruh kerabat Diraja Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar, dan rakyat negeri sembilan seluruhnya diatas kemangkatan Baginda pada hari sabtu 27 hb Disember 2008 bersamaan 29 Zulhijjah 1429 H. Sudah tentu sejarah dan kenangan manis dan segala kebaikan Almarhum akan terus terpahat dalam kenagan. Saya mewakili seluruh rakyat dalam DUN Bukit Ibam mendoakan semoga roh Almarhum diberkati oleh Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin, Amin...Al- Fatihah..

Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 H dengan penuh keinsafan dan iltizam baru.

Thursday, December 11, 2008

AL-FATIHAH


Assalamualaikum wbt ,


Malam tadi UMNO Pahang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Datuk Abdullah Rahmat, Setiausaha Kerja Eksekutif UMNO Pahang. Beliau dan pemandunya terlibat didalam kemalangan jalanraya di Lanchang. Berita ini sungguh menyedihkan. Bagi pihak saya secara peribadi amat berasa sedih dengan pemergian beliau. Bagi saya beliau merupakan seorang Abang yang sangat dikasihi. Banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan mendidik saya mengenal erti politik , malah banyak membantu saya terutama ketika saya mula-mula terpilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2004.



Allahyarham Datuk Hj Abdullah Rahmat memang terkenal sebagai seorang yang sangat penyayang dan kuat bekerja. Hampir seluruh masa dan hidupnya dikorbankan untuk UMNO Pahang. Seorang yang begitu mengambil berat tentang perjalanan pentadbiran UMNO Negeri Pahang. Begitu sedih jika diimbas kembali , pemergian isterinya ke rahmatullah yang tidak lama dahulu.



UMNO Pahang , pasti terasa kehilangannya. Telatah gurau sendanya dan jenakanya pasti akan dikenang sampai bila-bila. Saya secara pribadi , begitu hiba mengenangkan peristiwa ini. Sudah pasti sifat tawadu' nya menjadikan Allahyarham seorang yang begitu mudah didekati.



Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar. Tidak dapat dilupakan saat-saat manis bersamanya dalam siri-siri perjuangan UMNO khususnya bagi kami pemuda ketika bersama dengannya dalam menghadapi situasi Pilihanraya Kecil dalam negara. Sudah tentu pemergian Allahyarham akan ditangisi dan meruntun jiwa kami semua. Disaat sebegini , himpunan doa dipanjatkan kehadrat Ilahi, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.



Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin dan rakan-rakan keseluruhannya diperingkat akar umbi, merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham diatas pemergian bapa yang dikasihi ini. Ucapan yang sama dilanjutkan kepada adik-beradik Allahyarham .



Sama-samalah kita mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin dan mendoakan segala jasa baiknya kepada parti dan negeri serta negara dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah swt..



Al-Fatihah...



Ikhlas :



Yb Dato' Hj Mohamad Sahfri Bin Ab. Aziz,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin Pahang


Wednesday, December 10, 2008

BENCANA ALAM


Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

Negara kita dikejutkan lagi dengan berita yang menyedihkan tentang Tanah Runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa. Banyak rumah yang tertimbus dan ramai juga mangsa yang menjadi korban keadaan tersebut. Saya mengikuti berita tersebut hampir setiap malam. Sedih melihat mangsa-mangsa yang terlibat dengan peristiwa tersebut. Bagi yang kehilangan keluarga ,tentu lebih sedih lagi mengenangkan anak yang meninggal dunia ditimbus tanah dan dihimpit dengan batu-batan dan dinding rumah.


Meneliti berita ini membuat kita insaf akan diri kita sebagai manusia yang begitu kerdil dihadapan Tuhan. Tiada siapa yang mahu peristiwa sebegini menimpa keluarga mereka. Sesungguhnya , dugaan yang diberikan begitu besar, menuntut manusia memikirkan bahawa ada disana yang tidak mampu untuk difikirkan dan dihalang oleh manusia. Kejadian tanah runtuh ini, membuat semua pihak memikirkan semula beberapa tindakan yang telah diambil tentang pembangunan di tanah cerun dan kawasan berbukit.

Tuhan telah menyatakan bahawa , yang akan merosakkan bumi ini ialah manusia sendiri. Justeru itu, jika perosaknya manusia , sudah tentu yang akan mengalami kerugiannya juga adalah manusia. Jika disorot kembali, semua pihak yang terlibat perlu menjadikan ini suatu pengajaran pahit kepada mereka supaya peristiwa ini tidak lagi berulang.

Kepada mangsa yang terlibat, pihak saya dan masyrakat dalam DUN BUKIT IBAM mengucapkan TAKZIAH dan mendoakan semoga terus dilindungi oleh Tuhan sentiasa. Semoga kesabaran yang wujud dalam hati mereka sekarang dan pengorbanan mereka akan dikurniakan dengan balasan nikmat yang berganda daripada Tuhan.

Selamat Hari Raya Aidiladha..

Friday, December 5, 2008

PILIHANRAYA KECIL !!


Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini kita dimaklumkan oleh pihak SPR , bahawa satu pilihanraya kecil bagi Parlimen Kuala Trengganu (P36) akan diadakan. Hari Penamaan Calon telah ditetapkan pada 6 hb Januari 2009, dan Hari Mengundi pula pada 17 hb Januari 2009. Rakyat dalam parlimen Kuala Trengganu sekali lagi diminta untuk memilih pemimpin baru mereka setelah kematian Allahyarham Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran baru-baru ini.

Jika dilihat dan dikaji dari keadaan yang berlaku, jauh di sudut hati, betapa negara mengharapkan kepada rakyat semula dengan mengembalikan kuasa memilih pemimpin kepada mereka. Inilah tradisi negara, melalui undang-undang yang telah kita persetujui sekian lama, cara rakyat dalam negara kita untuk mencari pemimpin baru. Bukan senang hendak mengendalikan perkara ini. Semua Jentera parti di pelbagai peringkat akan diminta bersama-sama untuk bekerja memastikan kempen berjalan dengan lancar.

Pilihanraya kecil ini berlaku disaat negara menghadapi keadaan getir dengan pelbagai isu, samada diperingkat nasional mahupun internasional. Gegak gempita pembangkang untuk menghentam kerajaan inilah masanya. Kita masih dibelenggu dengan pelbagai isu ekoran daripada Pilianraya Umum, bulan Mac yang lalu, baru 9 bulan berlalu. Kuala Trengganu pasti akan menjadi medan untuk memperjelaskan banyak isu yang sudah dan sedang berlaku selama ini. Tidak kurang juga ia bakal menjadi medan untuk pihak pembangkang mereka-reka pembohongan dan fitnah untuk menjatuhkan maruah kerajaan.

Saya amat yakin bahawa, rakyat di Kuala Trengganu pasti akan membuat pilihan yang tepat. Trengganu sebuah negeri yang hebat dan dalam usaha melipatgandakan lagi pembangunan yang sedia ada. Ini dapat dilihat jika dibandingkan dengan negeri jiran iaitu Kelantan. Orang Melayu pasti akan memikirkan perkara ini.Kita harap Kaum Cina dan India dapat memikirkan bersama peranan yang telah dimainkan oleh pihak Kerajaan dalam membantu rakyat di Kuala Trengganu. Buktikanlah bahawa kita rakyat yang bijak dalam membuat pilihan.

Pemilihan calon yang bakal bertanding, menjadi sebahagian faktor untuk memastikan kejayaan kempen Pilihanraya Kecil. Harapan tinggi diletakkan kepada kepimpinan UMNO Trengganu untuk meletakkan calon yang sesuai. Seluruh negara sedang menanti siapakah bakal menjadi calon yang bertuah ini. UMNO sudah pasti akan bekerja kuat untuk memastikan kejayaan dalam pilihanraya kecil ini. Seluruh negara akan datang membantu. Inilah tradisi kita bertahun-tahun, sama-sama membantu rakan kita di Kuala Trengganu. UMNO Trengganu perlu yakin akan kekuatan UMNO yang telah sedia ada, kita tidak mahu 'belum duduk dah berlunjur' ini pasti akan buat ramai kecewa nanti. Imej parti dan Kerajaan perlu dijaga dengan baik. Lupakan segala persengketaan dalaman dan luaran kita. YAB Menteri Besar baru, sudah pasti menjadikan ini cabaran utama dan tugas penting yang perlu diselesaikan dengan baik selaku MB yang baru. Apa pun didoakan semoga terus berjaya. Selamat menghadapi Pilihanraya Kecil.

Tuesday, December 2, 2008

POLITIK PERKAUMAN

Saya melihat beberapa isu perkauman yang dibangkitkan akhir-akhir ini merupakan rentetan daripada kekecewaan tuan tubuh tersebut ekoran kemerosotan sokongan terhadap dirinya. Isu perkauman dan kedaulatan bahasa melayu dan Agama Islam , merupakan perkara yang cukup sensitif untuk disentuh oleh bukan melayu. Ini kerana , orang melayu merasakan tidak perlu kaum lain untuk mempertikaikan kedaulatan bahasa , agama Islam dan tatacara hidup mereka, kerana mereka juga tidak pernah mengacau hak orang lain.

Mungkin inilah kerananya , penjajah inggeris dihalau daripada tanah melayu dulu. Selagi mana pihak inggeris tidak mengacau urusan keagamaan, hak sultan-sultan dan bahasa melayu serta tatacara hidup orang melayu, mereka tidak akan diakacau. Kekacauan mula berlaku apabila perkara-perkara ini disentuh. Oang melayu tidak kisah jika ianya berniat untuk membantu, tetapi ianya pasti menjadi masalah jika sebaliknya. Selama beratus tahun , orang-orang melayu hidup dalam kesusahan. Kais pagi makan pagi , kais petang makan petang. Tamadun orang melayu ialah patuh kepada agama , taatkan raja pemerintah dan perjuangkan adat melayu yang diwarisi turun temurun. Malah ada juga adat yang tidak dipertahankan jika ianya bertentangan dengan ajaran agamanya.

Kenapa sekarang mereka mula mempertikaikan tentang Ketuanan Melayu? Adakah melayu pernah menghamba-abdikan kaum lain ? Dengan menjadikan mereka seperti hamba sahaya sebagaimana pernah berlaku di zaman Jahiliyah Arab dan di Afrika Selatan? Kenapa perlu takut kepada perkara yang tidak pernah wujud. Sangka buruk mula mengatasi diri. Dalam Islam , kalau kita mula dikuasai sangka buruk, itu tandanya iman kita dah mula menipis, malah dah mula tak ingat kat tuhan. Sentiasa takut dan was-was. Sebab itu ada surah dan doa untuk kita amalkan untuk hindarkan diri daripada terjebak dalam perkara ini.

Ketuanan Melayu bak kata MB Pahang, berkait rapat dengan kedaulatan raja-raja melayu. Orang melayu memanggil Raja dan Sultannya dengan panggilan "Tuanku". Lambang kasih dan setia kepada pemimpin yang sangat dikasihi. Malah orang melayu boleh mendabik dada, satu-satunya bangsa yang kekal menjaga keharmonian hubungan dengan pihak sultan dan raja , sehingga sekarang mereka masih mengekalkan institusi tersebut. Tidak seperti bangsa-bangsa lain!! malah ada yang membunuh raja mereka sendiri. Kenapa sekarang mereka mula mendengki kita?

Malah para pemimpin politik yang mula mempertikaikan Ketuanan Melayu ini , sebenarnya mereka sendiri tidak terjaga daripada segi moralnya. Bagaimana hendak menjaga rakyat yang sebegini banyak. Yang pelik, orang macam ini pun dipilih untuk menjadi pemimpin. Sekarang , ramai masyarakat diluar parti mula mengherdik kita. Mungkin inilah dilema yang dihadapi oleh Presiden mereka.

Saya tidak memusuhi MCA. Tetapi memusuhi sikap dan perangai pemimpin yang buat-buat tidak faham pengorbanan UMNO bersama-sama dengan mereka membangunkan negara ini. Kita sudah 50 tahun merdeka. Sedarlah akan dimana sepatutnya kita terus meletakkan perjuangan kita untuk generasi yang akan datang. Tidak perlulah kita meletakkan kehebatan dan kemegahan pada diri kita. Kita telah ditakdirkan untuk memimpin bangsa kita. Biarlah mereka menilainya kelak.

Apapun Syabas dan Tahniah Kepada Dato Sri Hishammuddin Tun Hussein. Semoga terus diberkati perjuangan.